Sunday, June 29, 2008

Adakah Kisah Hitam 1998 bakal berulang di tahun 2008?

Dialog yang sama berulang...

"Pada 1998, negara kita mengalami kemorosotan ekonomi.

Pada 1998, Tun Mahathir menerima ancaman hebat dari Anwar Ibrahim bagi menggantikannya sebagai Perdana Menteri.
Pada 2008, Anwar Ibrahim dibenarkan kembali berpolitik dan dikhabarkan bakal menjadi PM pada September ini.

Pada 1998, Tun Mahathir bukan sahaja menerima tekanan hebat dari pengaruh Anwar Ibrahim, malah berhadapan tekanan hebat dek penangan kejatuhan ekonomi.
Pada 2008, minyak naik...saham merudum...barang naik...darah naik!

Pada 1998, Anwar Ibrahim ditahan atas tuduhan liwat dan rasuah. Pada 2008, laporan polis dibuat ke atas Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat

Pada 1998, populariti Tun Mahathir merudum dek penangan laungan Reformasi dalam menghadapi Pilihanraya Umum.
Pada 2008, undi protes melanda negara"


Semua rentetan dialog di atas seakan sama dengan tahun 2008 kini. Apa yang dialami Tun Mahathir pada 1998, kebanyakkannya juga berlaku pada Abdullah Badawi pada 2008 (sila bandingkannya melalui perenggan di atas). Walaupun Anwar Ibrahim masih belum ditahan (setakat post ini dikeluarkan), kita doakan agar kebenaran ditegakkan dan semoga sistem keadilan di negara kita akan meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Di kala sistem kehakiman kita semakin pulih dan telus, kita harapkan agar tidak lagi berulang kisah hitam 1998 pada tahun 2008 ini dan untuk selama-lamanya.

Laporan polis tersebut masih di peringkat siasatan, justeru masih belum terlambat untuk pihak berkuasa dan pemimpin negara berfikir dan meletakkan akal yang dikurniakan Allah SWT ini sebelum bertindak lanjut.

Di kala masyarakat negara kita berdepan tekanan hebat akibat kemuruduman ekonomi negara, adalah lebih baik jika tidak ada lagi isu-isu yang lebih memeningkan semua rakyat jelata dan boleh mengganggu gugat keamanan dan kesejahteraan negara.

Di saat ini, Pemimpin utama negara lah yang perlu memainkan peranan. Justeru, didoakan agar Allah SWT memulihkan kebodohan Abdullah Ahmad Badawi (yang tak sedar diri dan masih degil untuk berundur)...supaya sedikit sebanyak adalah jugak kebaikan yang boleh dia buat...demi kesejahteraan rakyat Malaysia. ameen


Berikut adalah petikan dari Harakahdaily.net mengenai laporan polis yang dibuat terhadap Anwar Ibrahim:-

SHAH ALAM 29 Jun (Hrkh) - !!!Gempar seketika pagi tadi apabila ramai anggota polis mengunjungi sebuah hotel terkemuka di Shah Alam ketika Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berada di hotel tersebut. Para petugas media dan penyokong Anwar gempar seketika tatkala kereta peronda polis muncul di depan pintu utama hotel tersebut kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

Para wartawan telah mula berkampung di sini sejak semalam berikutan tersebarnya laporan mengenai kemungkinan penahanan Ketua Umum KeADILan itu.

Kelihatan seorang wakil Anwar bercakap dengan anggota polis tersebut dan kemudian kereta peronda tersebut beredar dari situ..

Sejak semalam, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa Anwar akan ditahan ekoran satu laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Laporan tersebut dibuat oleh pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa telah diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Sumber KeADILan mengatakan bahawa polis telah menahan pembantu khas Anwar semalam dan memaksanya membuat laporan polis yang dia diliwat oleh Anwar.

Sementara Saiful Bukhari dikatakan sedang memberi keterangan di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan dalam laporan tersebut dan mendakwanya ianya merupakan satu rekaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk 'menyerangnya' sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salah laku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999.

Anwar dijangka membuat laporan polis berhubung bukti-bukti yang diperolehinya itu hari ini.

Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan perkara itu tetapi tidak diketahui bila dan di mana laporan itu akan dibuat.

Dalam kenyataannya pagi tadi, Wan Azizah berkata, Saiful merupakan seorang sukarelawan yang tampil membantu KeADILan, sewaktu pilihan raya umum lalu.

Ekoran itu, katanya, mereka tidak membuat sebarang semakan latar belakang pengadu.

Mengenai laporan tersebut, beliau berkata, ia bertujuan untuk mencemarkan masa depan politik Anwar.

Menurut Wan Azizah perkara yang sama berlaku sepertimana 10 tahun yang dulu.

Anwar, bekas TPM dan Menteri Kewangan, dipecat dari kerajaan pada 1998 kerana didakwa menyalahguna kuasa dan dituduh terbabit dalam perbuatan liwat.

Pada 1999, beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada tahun 2000, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat.

Bagaimanapun, pada 2004, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman liwat dan membebaskan Anwar.

Anwar mendakwa tuduhan terhadapnya itu merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi kerajaan menafikannya.

Kini menurut Ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Badrul Hisham Shaharin, beliau sedang mengusahakan untuk menguruskan ahli keluarga Anwar dan akan berpindah dari hotel tersebut ke suatu lokasi lain.

Beliau yang menghubungi Harakahdaily menyatakan bahawa perkembangan itu mengejutkan ramai pihak dan beliau meminta semua pihak bertenang sementara perkembangan terkini dimaklumkan kemudian.

Namun setakat ini tiada tangkapan mahupun kenyataan daripada pihak polis dibuat berhubung isu tersebut.